CINTAI NABI BAWA KE SYURGA
Alhamdulillah, pada 25 Februari yang lalu saya bersama rakan rakan teleh diizinkan Allah untuk menghadiri ceramah sempena Maulidur Rasul 1432H yang bertempat di Dewan JKKK Kg Bujang. Ceramah ini disampaikan oleh Ustazah Asni Abu Mansor Al Hafizah.
Pada awal ceramah, beliau telah menceritakan tentang kelebihan manusia sehingga Allah telah bersumpah di dalam Al Quran dalam surah Tin. Allah telah bersumpah dengan buah tin, zaitun dan juga Bukit Tursina. Perkara yang tersirat di sini adalah kesemua yang Allah telah bersumpah itu adalah barang ataupun benda yang begitu baik sekali. Begitu juga kejadian kita ialah sebaik baik kejadian yang diciptakan Allah s.w.t. Namun begitu beliau mengingatkan agar kita tidak merasa bangga dengan apa yang telah disebutkan oleh Allah kerana malangnya kita masih belum menunjukkan rasa cinta dan kasih sayang kita kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Beliau menceritakan kisah seorang sahabat Nabi yang boleh dijadikan contoh yang amat tepat dalam usaha kita menunjukkan cinta kepada Rasulullah. Sahabat yang dimaksudkan adalah Bilal bin Rabah. seperti mana yang kita semua tahu, Bilal bin rabah adalah muazzin yang sangat digemari Rasulullah walaupun nahunya tidak berapa tepat. Kami diceritakan tentang Bilal yang mana setiap kali selepas azan, beliau akan terus menuju ke rumah baginda untuk mengajak baginda mengimamkan solat berjemaah. Perkara ini beliau teruskan sehinggalah baginda wafat. Beliau terlalu sedih dengan pemergian baginda sehinggakan beliau tidak lagi azan, kerana rindunya yang sangat mendalam kepada Rasulullah s.a.w. Bilal juga merasa sebak tatkala berada di Madinah kerana di mana mana sahaja Bilal akan ternampak kelibat nabi, di mana Bilal terpaksa meninggalkan Madinah dek terlalu hiba dengan kewafatan Nabi.
Seterusnya, Ustazah Asni mencerita bagaimana untuk kita menunjukkan kasih sayang kita kepada Nabi, walaupun beliau sudah wafat beribu tahun lamanya. Selain daripada memperbanyakan selawat ke atas baginda, kita juga boleh menunjukkan rasa cinta kepada Rasulullah s.a.w melalui kasih sayang kita terhadap ibu kita. Ini dapat dijelaskan lagi dalam sebuah hadith di mana ada seorang sahabat bertanya kepada Nabi, siapakah yang harus dia turuti selepas Allah dan Rasul Nya. Baginda menjawab “ibumu” sebanyak 3 kali dan ketika diajukan soalan itu buat kali keempat barulah beliau menjawab “ayahmu”. Ini menunjukkan betapa tingginya darjat seorang ibu di sisi Islam.
Kesimpulannya, pada setiap masa dan ketika, kita haruslah menunjukkan rasa cinta kita kepada Allah dan Rasul Nya, supaya kita mendapat redha Allah dan syafaat baginda di akhirat kelak.
alhmdulillah jd insan trpilih k mjlis2 agama cmtu..kalau Dia xpilih kita, blom tntu kita ada di sana..=)
ReplyDelete